APRIL 6 - 26 haribulan November tahun lalu, sebelum kerajaan kita dirampas, saya sendiri mempengerusikan mesyuarat Exco, meluluskan permohonan 45 hektar tanah untuk Pondok Pak Teh, kata Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, calon Pas di Bukit Gantang dalam satu majlis ceramahnya di Kampung Kurnia Jaya, Bukit Gantang.
Nizar memberitahu perkara ini ketika BN meneruskan kempennya untuk menjauhkan pengundi Melayu dari calon Pas itu. Menurut Nizar, Pak Teh, mudir sekolah agama rakyat Ad-Diniah Al- Latiffiah telah 10 tahun memohon tanah itu dari kerajaan negeri, namun ditolak.
Apabila Pakatan Rakyat memerintah, selepas diberitahu, kita membuka kembali fail itu dan mendapati, ia satu kes asli dan kita membuat keputusan meluluskan permohonan Pak Teh itu, kata Nizar lagi.
Pak Teh memohon tanah itu, sebagai tambahan kepada tapak 10 hektar yang kini dimiliki pondok itu. Mereka mahu menjadikan tanah itu sebagai ladang kelapa sawit untuk membolehkan pondok itu berdikari.
Mungkin ini menjadi senjata terakhir Pas untuk memenangi kembali hati orang Melayu yang diasak oleh Umno dengan isu Nizar adalah penderhaka kepada Sultan Perak ekoran sembah derhakanya.
Sebagaimana diketahui, pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Perak pimpinan Nizar telah melaksanakan manifesto Pas Perak 2008 iaitu memberikan geran kepada penduduk Kampung Baru di Perak yang terdiri dari orang Cina. Ekoran itu, 3,000 hektar tanah telah diberikan geran itu.
Turut diberikan geran adalah penduduk kampung tersusun yang kebanyakannya orang Melayu. 7,000 hektar tanah terlibat dalam pemberian ini. Namun oleh kerana memberikan tanah kepada orang Cina dianggap satu yang luar biasa, Nizar telah dituduh menjadi alat kepada DAP di Perak. Tambahan lagi, pemimpin DAP adalah majoriti dalam DUN dan juga dalam barisan Exco kerajaan negeri Perak.
Dengan digabungkan isu sembah derhaka dan tanah untuk orang Cina, Nizar telah digambarkan oleh BN sebagai alat DAP sahaja.
Dipercayai, apabila didedahkan fakta pemberian tanah 45 hektar untuk Pondok Pak Teh ini, tuduhan terhadap Nizar itu akan cair dan seterusnya diterima oleh orang Melayu di Bukit Gantang dengan baik.
Memang Nizar membantu Cina tetapi Cina yang miskin. Dia juga membantu orang Melayu dengan banyak dan antaranya sekolah pondok ini. Umno juga bantu Cina tetapi tauke Cina. Dia juga bantu Melayu tetapi kroni dia sahaja, kata seorang pengundi Bukit Gantang.
Sebagaimana tulisan saya sebelum ini, pada pilihan raya 2004, calon Pas memperolehi 40 peratus dari undi orang Melayu. Pilihan raya 2008, calon Pas Allahyarham Roslan Shaharom memperolehi lebih 46 peratus undi dari orang Melayu.
Dalam pilihan raya kecil ini, Pas sebenarnya perlu mengekalkan sahaja 40 peratus undi Melayu itu sebagaimana diperoleh tahun 2004 lalu. Ini kerana, berdasarkan sokongan Cina dan India yang ada, Pas mampu menang dalam pilihan raya kecil ini dengan baik.
Namun, sebagaimana di Kuala Terengganu, yang dibimbangi oleh Pas adalah peratusan sebenar undi Cina dan India yang menyokong calon mereka. Ketika kempen Kuala Terengganu, pemimpin DAP memberi jaminan, 70 peratus pengundi Cina akan menyokong calon Pas. Namun apabila kotak undi dibuka hanya 40 peratus lebih sahaja mengundi Pas. Puncanya kerana kempen MCA yang menakutkan mereka dengan hudud dan ugutan dari pejabat MB Terengganu untuk mengkaji balik kedudukan Exco MCA dalam kerajaan negeri jika Cina menyokong PAS.
Di Bukit Gantang, sekali lagi DAP yakin, lebih 60 peratus dan ada yang menjangka hingga 80 peratus, undi Cina akan memihak kepada Nizar. Sehingga kini, 24 jam sebelum pembuangan undi bermula, belum ada lagi tanda-tanda jelas isu yang boleh menggigit orang Cina di sana untuk kembali kepada BN.
Namun, peralihan kuasa PM dari Tun Abdullah kepada Datuk Seri Najib dan ucapan sulong Najib selaku PM boleh memberikan imej positif kepada BN. Begitu juga kedatangan Tun Dr Mahathir ke sana juga memberikan harapan itu.
Namun, jika kempen PAS berjalan baik dan berjaya merungkai perasaan terkilan orang Melayu akibat isu derhaka dan tanah, saya yakin Nizar boleh menang dalam pilihan raya ini dengan majoriti yang lebih besar berbanding 2008.
Untuk itu, saya memberikan majoriti lebih 2,000 hingga 3,000 untuk calon Pas walaupun ramai penjudi Cina meletakkan Pas akan menang hingga 5,000 undi majoriti
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Syabas Umno dah Berubah....dari zaman Paklah ke Zaman Maha Firaun !!! Najib ni kuran pandai ...pasai tu kena rujuk pada Maha Firaun dan Rosmah !!! :)
Post a Comment