Tuesday, May 19, 2009

HJ NIZAR BERPELUANG MENGADAP TUANKU

May 19, 2009 By Misbahul Munir

YAB Dato' Seri Hj Nizar berpeluang mengadap Tuanku Raja Nazrin tengahari tadi di Istana Iskandariyyah selepas selesai Majlis Anugerah Pingat & Bintang. Demikian dinyatakan oleh Hj Nizar dalam taklimat ringkasnya di Mesyuarat Perhubungan PAS Perak tadi.

Dalam kesempatan yang singkat itu, digunakan oleh Hj Nizar bagi memohon maaf bagi pihak PR dan rakyat Perak sepanjang tiga bulan sebelum ini sekiranya apa sahaja insiden yang berlaku mengguris hati Tuanku.

Beliau juga bagi pihak PR mengucapkan takziah di atas kemangkatan Kekanda Tuanku Sultan Azlan Shah yang juga bapa saudara Raja Nazrin.

Kesempatan itu juga digunakan oleh Dato' Seri secara berterus terang dengan penuh berhimah memberi pandangan-pandangan terhadap senario dan kemelut politik di Perak. Dato' Seri merayu supaya Tuanku memberi penghormatan kepada rakyat untuk memilih semula kerajaan di negeri Perak, kerana melalui pembubaran DUN sahajalah kemelut ini akan berakhir.

Pakatan Rakyat akan menghormati pendirian dan keputusan rakyat yang samada memilih Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional. Dato' Seri juga memberi pandangan supaya tidak ada sidang DUN diadakan dalam tempoh terdekat selagi kemelut politik ini belum berakhir, beliau memberi gambaran insiden sidang DUN 7 Mei yang lalu dibimbangi akan berulang semula sekiranya sidang DUN diadakan juga, dan ianya akan hanya memalukan imej Tuanku dan negeri Perak.

Sebelum ini beliau juga memberi pandangan kepada Sahibus Samahah Dato' Seri Mufti Perak tentang kemelut politik di Perak, beliau merayu supaya Dato' Mufti turut memainkan peranan dengan membantu agar penyelesaian kemelut politik melalui pembubaran DUN.

Pertemuan singkat antara YAB Dato' Seri Hj Nizar dengan DYTM Raja Nazrin merupakan pertemuan yang cukup berharga walaupun pertemuan tidak rasmi. Mesej rakyat yang mahukan DUN dibubarkan telah disampaikan oleh Hj Nizar. Kini, semuanya terserah kepada Tuanku, mesej rakyat telahpun disampaikan oleh Dato' Seri Hj Nizar. Diharap rakyat terus solat Hajat dan bermunajat mudah-mudahan dilembutkan hati Tuanku bagi memperkenan DUN Perak dibubarkan.

No comments: