Tuesday, February 10, 2009

Polis halang Nizar ke pejabat MB - Malaysiakini

Feb 10, 09 10:13am
kemaskini 12.04am

Menteri besar Pakatan Rakyat di Perak, yang enggan mengiktiraf kerajaan baru BN, terus bertugas seperti biasa dengan mengetuai barisan exco negeri ke pejabat rasminya.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bergerak dari kediaman rasminya - yang dijadikan kawasan pentadbiran kerajaannya - menuju bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pagi ini yang telah dikawal oleh sekumpulan 30 anggota polis unit pencegah rusuhan FRU.

Kira-kira jam 11.05 pagi, beliau dan rombongannya tiba di depan pintu masuk bangunan tersebut tetapi kenderaan mereka dihalang oleh polis.

Lebih kurang 10 minit kemudian Mohammad Nizar dengan kereta rasmi menteri besar meninggalkan kawasan tersebut, menuju kediaman rasminya di Jalan Tambun.

Katanya kepada media, mereka hadir ke sini untuk melaksanakan tugas, tetapi mereka akur pada arahan polis dan tidak akan menimbulkan sebarang provokasi.

Tidak kelihatan gelagat penyokong Umno yang dikatakan akan "berbuat apa sahaja" untuk menghalang Mohammad Nizar memasuki bangunan pejabatnya.

Menteri besar BN, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dijangka ke pejabat rasminya di bangunan tersebut hari ini.

Sementara itu, barisan exco kerajaan BN dijadual mengangkat sumpah jam 10 pagi ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar di depan Sultan Perak.

Tiada penunjuk perasaan di kawasan tersebut dan keadaan kelihatan tenang.

Menurut Bernama, senarai exco yang mengangkat sumpah seperti berikut:

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat, Hamidah Osman - jawatankuasa industri, pelaburan, pembangunan usahawan, teknologi telekomunikasi, pelancongan dan hal-ehwal wanita.

Adun Manong Datuk Ramly Zahari, yang juga setiausaha perhubungan Umno Perak - kemudahan awam, tenaga dan air,

Adun Chenderiang, Dr Mah Hang Soon, juga ketua Pemuda MCA Perak - kesihatan, kerajaan tempatan, hal-ehwal pengguna, alam sekitar, pengangkutan awam dan hal-ehwal bukan Islam.

Adun Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad - pembangunan luar bandar, pembasmian kemiskinan, perladangan dan kebajikan.

Adun Kamunting, Mohd Zahir Abdul Khalid - pelajaran, pengajian tinggi, sains dan teknologi.

Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin, juga ketua Pemuda Umno Perak - kesenian, kebudayaan, belia dan sukan.

No comments: