Sunday, April 20, 2008

Kerajaan negeri pandang serius - Kosmo

April 19, 2008 Oleh TAJUL SAFUAN ABU HASSAN
tjsafuan.hassan@kosmo.com.my

KERAJAAN Perak memandang serius masalah hutang yang melibatkan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dapat diselesaikan.

Namun, pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Seah Leong Peng percaya, Pafa akan tetap melunaskan hutang tersebut yang dilapor mencecah RM560,000.

"Saya percaya Persatuan Bola Sepak Perak akan membuat bayaran hutang tertunggak itu kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam masa terdekat," kata Leong Peng ketika dihubungi Kosmo! semalam.

"Ini kerana badan induk bola sepak negeri ini bertanggungjawab terhadap penggunaan dan penyeliaan Stadium Perak."

Bagaimanapun, Leong Peng berkata, beliau tidak pasti bentuk pembayaran yang akan dibuat Pafa kepada MBI.

Katanya, tiada alasan bagi Pafa untuk 'menyimpan' perolehan MBI yang sepatutnya digunakan bagi penyeliaan kompleks sukan dan bangunan milik MBI.

Sementara itu, Pemangku Presiden Pafa, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini.

Menurut sumber Pafa, beliau kini berada di Terengganu bagi urusan kerja.

Kosmo! semalam menyiarkan cadangan MBI mengadakan perjumpaan dengan Pafa bagi mencari jalan terbaik bagi badan induk itu menjelaskan hutang berkenaan.

Jumlah itu yang merupakan hutang tertunggak sebanyak lima peratus daripada hasil jualan tiket yang dipersetujui dibayar Pafa kepada MBI.

Disebabkan kegagalan pembayaran tersebut, MBI kini dilapor akan membuat kutipan pada setiap kali perlawanan bagi mengelak jumlah hutang Pafa daripada terus bertambah.

No comments: