TAIPING 25 April Oleh ABDUL RAZAK DIN
Walaupun kudung kedua-dua belah kaki kerana kecacatan sejak dari kecil lagi, ia tidak menghalang seorang pelajar pintar, Mohd. Uzair Jaafar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian lebih tinggi.
Mohd. Uzair, 17, berkata, beliau yang pernah dipotong tiga kali di bahagian kakinya kerana mengalami masalah ketumbuhan, tidak pernah patah semangat untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) di Kolej Matrikulasi Johor dalam bidang sains.
Kini dia hanya mampu bergerak secara mengesot ketika di rumah dan terpaksa menggunakan kerusi roda ketika bersekolah bagi meneruskan penghidupan hariannya.
‘‘Saya tidak pernah mengikuti kelas tuisyen untuk berjaya dalam pelajaran kerana saya tidak berupaya untuk berulang-alik dari rumah ke pusat tuisyen berkenaan kerana ia begitu membebankan mereka yang membantu saya. Oleh itu, saya hanya mampu belajar bersendirian di rumah.
‘‘Tawaran yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran untuk membolehkan saya melanjutkan pelajaran dalam bidang sains ke Kolej Matrikulasi Johor adalah sesuatu yang begitu bermakna dalam hidup saya sebagai seorang yang tidak cukup anggota ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menerima sumbangan dan penghargaan daripada Yayasan Perak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Mohd. Zahir Datuk Mohd. Khalid di rumahnya di Kampung Pinang Seberang, Kamunting di sini hari ini.
Bekas pelajar Sekolah Menengah King Edward Taiping yang begitu berminat dalam aktiviti pelancaran roket, ditawarkan belajar di Kolej Matrikulasi Johor berikutan keputusan cemerlangnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu dan bercita-cita untuk menjadi seorang ahli farmasi.
Menurutnya, walaupun hidupnya perlu dibantu untuk bersekolah. Ia tidak menghalang beliau untuk aktif dalam kokurikulum serta kegiatan ilmiah yang lain termasuk dalam bidang penulisan ekonomi.
‘‘Saya berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa saya yang setiap hari terpaksa mengambil dan menghantar ke sekolah supaya saya mendapat pelajaran yang sewajarnya,” katanya.
Bapanya, Jaafar seorang bekas anggota polis berkata, beliau menghantar dan mengambil Mohd. Uzair ke sekolah setiap hari sejak dari darjah satu lagi untuk membolehkannya mendapat pelajaran yang secukupnya.
Kata beliau, setibanya di sekolah Mohd. Uzair terpaksa didukung untuk diletakkan di kelas-kelas pembelajaran supaya ia tidak tercicir dalam mengikuti sesi pembelajarannya setiap hari.
‘‘Kadang-kadang apabila saya tidak berkesempatan kerana sibuk bekerja, emaknya akan menghantarnya ke sekolah.
‘‘Saya rasa penat saya selama ini menghantarnya ke sekolah sudah terbalas setelah mendapat tahu anak saya diterima mendapat tawaran ke Kolej Matrikulasi Johor,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau bimbang dengan keselamatan anaknya semasa menuntut di kolej itu nanti, Jaafar berkata, beliau tidak bimbang dengan keadaan keselamatan anaknya nanti kerana kolej berkenaan sudah menyediakan kelengkapan khusus untuk pelajar kurang upaya.
Sementara itu, ADUN Kamunting, Mohd. Zahir menyifatkan Mohd. Uzair sebagai individu yang unggul kerana kecacatan yang dialaminya tidak mematahkan semangat untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi.
‘‘Saya meminta pelajar-pelajar lain mengambil iktibar daripada kegigihan Mohd. Uzair menimba ilmu pengetahuan kerana dengan pelajaran sahaja ia mampu membawa individu ke tahap yang lebih tinggi lagi,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment