Wednesday, April 30, 2008

Pengarah JAIP dilantik menjadi Pegawai Tugas-tugas Khas di Pejabat SUK - Utusan

30/04/2008 7:04pm

IPOH 30 April — Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury melaporkan diri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak hari ini sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas selepas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengarahkan beliau ditukarkan serta merta pagi semalam.

Bernama diberitahu bahawa Jamry dijangka menerima surat pengesahan ke jawatan itu seawal-awalnya Isnin ini.

Jamry telah dinasihatkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada pihak media selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), demikian menurut sumber hari ini.

Semalam Jamry, yang telah memegang jawatan itu selama tiga tahun sejak 2004, diarah bertukar dengan serta merta oleh Mohammad Nizar kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama.

Jamry yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) dikatakan telah diminta keluar dari pejabatnya oleh Mohammad Nizar pagi semalam menerusi telefon tanpa diberi peluang menjelaskan apa-apa bagi membela dirinya.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor Datuk Zambry Abdul Kadir berkata tindakan Menteri Besar itu jelas menunjukkan sikap keangkuhan kuasa yang kononnya sebelum ini diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Tiada hormat kepada Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP). Sewajarnya mengHadap baginda terlebih dahulu bagi memohon perkenan bagi sebarang tindakan. Beliau juga tidak menghormati pegawai kerajaan,” kata Zambry dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata janji kerajaan negeri untuk tidak memberi sebarang tekanan kepada pegawai kerajaan dalam menjalankan tanggungjawab mereka adalah ibarat ’menanam tebu di pinggir bibir’.

Adun Sungai Manik, Zainol Padzi Paharuddin, pula mengingatkan mengenai titah ucapan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah semasa ulang tahun Hari Keputeraan ke-80 Sultan Perak pada 19 April lepas bahawa masjid dan urusan agama adalah di bawah baginda.

Katanya Raja Nazrin telah bertitah bahawa baginda akan memastikan bahawa institusi agama yang berada di bawah bidang kuasa Sultan Perak seperti masjid, surau dan institusi pendidikan Islam akan dijadikan alat penyatuan dan tidak dibenarkan menjadi pentas politik yang boleh membawa perpecahan.

No comments: