Apr 30, 08 3:00pm
MCA Perak hari ini mengemukakan semua dokumen berhubung permohonan dan pemilikan tanah bernilai tinggi seluas 0.87 hektar di Pasir Pinji di Ipoh kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya siasatan mengenainya dapat dijalankan secara telus dan adil.
Setiausaha MCA Perak Datuk Ho Cheng Wang berkata dokumen yang merangkumi surat permohonan, perjanjian, kelulusan dan hak milik tanah itu diserahkan kepada BPR bagi membuktikan dakwaan kerajaan negeri bahawa berlaku unsur penganiayaan dalam pemilikan itu, adalah tidak benar.
"Kita juga berharap siasatan BPR ini juga akan mengembalikan kesaksamaan dan keadilan semula kepada MCA kerana permohonan kita adalah sah dan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian.
"Permohonan kita terhadap tanah itu adalah untuk membina bangunan MCA dan dewan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen itu kepada BPR di Ipoh hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau menyerahkan dokumen itu kepada Penolong Penguasa BPR Mohd Zaini Hassan.
Pada 16 April lalu kerajaan negeri membatalkan kelulusan tanah bernilai tinggi itu selepas mendakwa terdapat unsur penganiayaan dan kejanggalan dalam kelulusan tanah berkenaan.
Tidak merayu
Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kelulusan yang dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini berunsur penganiayaan kerana tanah berkenaan telah didiami sejak 1953 oleh pengusaha kilang kicap yang telah lama membuat permohonan bagi tanah berkenaan.
Nizar berkata kerajaan negeri akan meminta pengusaha berkenaan mengemukakan permohonan semula melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan permohonan itu akan diproses bagi kelulusan.
Ho bagaimanapun berkata pihaknya difahamkan bahawa permohonan kilang kicap itu tidak dapat diluluskan kerana tanah itu adalah berhampiran dengan kawasan kediaman.
"Banyak kali mereka minta daripada PTG tetapi tidak diluluskan kerana kawasan itu tidak sesuai untuk dibina kilang kicap," katanya.
Beliau berkata MCA tidak akan membuat rayuan kepada kerajaan negeri berhubung pembatalan pemilikan itu.
Sebaliknya, Ho berharap BPR dapat menjalankan siasatan secepat mungkin sebagai membuktikan dakwaan kerajaan negeri itu tidak benar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment