Sunday, April 13, 2008

Setuju lantik 1/3 ahli majlis PBT bukan kalangan Pakatan Rakyat - Nizar

Setuju lantik 1/3 ahli majlis PBT bukan kalangan Pakatan Rakyat - Nizar
Intan Abdullah Sat Apr 12, 08 11:37:12 am MYT

IPOH, 12 April (Hrkh) - Kerajaan Perak telah bersetuju untuk melantik 1/3 daripada anggota majlis tempatan yang akan menganggotai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bukan daripada kalangan Pakatan Rakyat. -->-->
Menteri Besarnya, Ir Nizar Mohd Jamaluddin berkata, kerajaan negeri telah pun memutuskan untuk memperuntukkan kuota tersebut hasil perbincangan bersama exco kerajaan negeri yang telah dilantik dalam mesyuarat kabinet lalu.
"Kita telah bersedia untuk melaksanakan keputusan tersebut dengan melantik satu pertiga daripada kalangan yang bukan daripada anggota parti-parti Pakatan Rakyat," ujarnya ketika ditemui di Pejabat Menteri Besar dalam majlis ramah mesra meraikan kunjungan kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat dekat sini semalam.
Menurutnya, tiada masalah untuk memilih sesiapa pun termasuk daripada kalangan pembangkang iaitu BN bagi menganggotai PBT.
"1/3 meliputi kalangan ahli akademik, profesional, badan bukan kerajaan (NGO) termasuklah pembangkang yakni BN," katanya.
Bahkan ujarnya lagi, kerajaan juga akan mengekalkan mana-mana ahli dalam PBT sebelum ini yang memberikan khidmat serta berperanan dengan baik dalam menjalankan tugas serta tidak memiliki sebarang masalah.
"Sekiranya ahli tersebut merupakan ahli BN sekalipun, tetapi jika sebelum ini beliau menunjukkan prestasi yang baik dalam menjalankan tanggungjawab dan memberikan khidmat kepada rakyat maka tiada sebab mereka tidak dikekalkan," ujarnya.
Keterbukaan dasar kerajaan Perak ujar Nizar, dapat dilihat menerusi pelaksanaan keputusan tersebut sekaligus membuktikan beberapa polisi kerja negeri iaitu amanah, adil, telus, wibawa dan kebajikan.
Beliau yang turut terkenal dengan karektor 'mesra media' tidak kekok mengendalikan perbincangan bersama delegasi muslimat./wann

No comments: