Oleh Jimadie Shah Othman | May 16, 08 2:22pm
Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyifatkan insiden serangan bom petrol di pejabat DAP Perak sebagai tindakan melampau dan syak ada dalang di sebalik kejadian itu awal pagi semalam.
"Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berharap agar setiap parti politik mengawal ahli masing-masing dan tidak menimbulkan tindakan provokatif sebegini bagi mengelakkan peristiwa hitam 13 Mei berlaku lagi," kata ketua penerangan pergerakan itu Herman Samsudeen.
"Apa yang berlaku ini adalah satu tindakan yang terlalu ekstrim, didorong oleh emosi yang tidak terkawal dan pastinya terdapat pihak-pihak lain yang turut terlibat dalam merancang jenayah ini."
Herman juga tidak menolak tindakan tersebut bermotifkan politik susulan perdebatan isu-isu semasa antara pemimpin parti itu dengan kepentingan pihak-pihak lain.
Perdebatan paling hangat baru-baru ini melibatkan pemimpin Umno dan persatuan Melayu yang menganggap pengerusi DAP Karpal Singh menghina Sultan Perak dan Raja-raja Melayu apabila mengulas dakwaan "campur tangan" istana dalam pentadbiran di beberapa negeri, termasuk Perlis dan Terengganu.
Karpal menafikan tuduhan itu dan menjelaskan beliau tidak berniat menghina Raja-raja Melayu.
Dalam kejadian kira-kira 2.20 pagi semalam, dua orang yang tidak dapat dicam yang menaiki sebuah motosikal dilihat membaling bom petrol itu ke arah pejabat DAP tersebut.
Satu daripada bom petrol itu telah memecahkan kaca tingkap pejabat itu yang terletak di tingkat dua bangunan kedai di situ, tidak jauh dari bangunan Dewan Undangan Negeri Perak.
Pengerusi DAP Perak yang juga exco kanan kerajaan negeri Datuk Ngeh Koo Ham semalam memberitahu Malaysiakini bahawa beliau percaya serangan itu “bermotifkan politik”.
"Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas sama ada ini ada kaitan dengan (isu membabitkan) Karpal Singh," katanya.
Ngeh diminta mengulas sama ada insiden itu ada kaitan dengan kenyataan Karpal mempertikaikan Sultan Azlan Shah yang menitahkan menteri besar Datuk Seri Mohammed Nizar Jamaluddin menarik balik arahan pertukaran pengarah jabatan agama Islam negeri Datuk Jamry Sury baru-baru ini.
Pemuda PAS Wilayah Persekutuan turut mengesa polis bertindak segera menangkap mereka yang terlibat.
“Kerajaan yang selama ini amat tegas terhadap sebarang aktiviti keganasan seharusnya memandang berat kejadian ini sebelum ada pemimpin politik yang dicederakan atau mati dibunuh,” tambahnya lagi dalam satu kenyataan semalam.
Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, seorang anggota polis berkata, kes tersebut dalam siasatan dan tiada sebarang tangkapan dibuat.
Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai "merosakkan harta".
"Kita tidak dapat mengklasifikasikannya sebagai jenayah kerana ia membabit orang yang tidak diketahui," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment