Friday, May 30, 2008

Perak diminta haramkan juga program berkonsep Islam Hadhari - The Star

28-05-2008 07:49:07 PM

IPOH: Dewan Pemuda PAS Ipoh Timur (DPPIT) dan Dewan Pemuda PAS Pasir Salak (DPPPs) hari ini menyarankan agar kerajaan Perak mengikuti pendirian kerajaan Selangor dan Pulau Pinang mengharamkan program berkonsepkan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiga tahun lepas.

Ketua DPPIT Salman Saleh dan Ketua DPPPS Zamarul Aini Abdul Malek berkata langkah itu perlu bagi mengembalikan ajaran Islam yang sebenar kerana Islam Hadhari amat menyalahi prinsip sebenar Islam yang sudah sempurna.

"Kami amat yakin bahawa Islam yang telah kita amalkan daripada dahulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup. Kami menyarankan supaya semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan program termasuk khutbah yang menyentuh atau ada hubung kait dengan Islam Hadhari," kata mereka dalam satu kenyataan bersama di sini, Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adatadat Melayu Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor Datuk Dr Hassan Mohamed Ali telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri Selangor mengharamkan sebarang pelaksanaan program berkonsepkan Islam Hadhari di negeri itu.

Ini diikuti oleh kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin semalam bahawa negeri itu akan mengikut jejak Selangor.

Selangor, Pulau Pinang dan Perak diperintah oleh Pakatan Rakyat terdiri Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS. Dua lagi negeri yang bukan diperintah oleh Barisan nasional ialah Kedah dan Kelantan.

Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria semalam dilaporkan berkata tindakan mengharamkan program berkonsepkan Islam Hadhari boleh menyebabkan umat Islam di Malaysia keliru dengan konsep tersebut yang diperkenalkan Abdullah pada 2005.

Beliau berkata pihak yang berkenaan perlu mengkaji keseluruhan konsep Islam Hadhari terlebih dahulu bagi mengelak timbulnya satu lagi perpecahan dalam kalangan rakyat.

"Saya rasa kita kena faham betul-betul dahulu tentang konsep Islam Hadhari itu sebelum mengambil tindakan. Apa yang saya faham setelah berbincang dengan Perdana Menteri dahulu, Islam Hadhari menepati tujuan Islam yang ingin mengangkat 65 perkara.

"Antara yang wajib adalah memperkasakan agama, akal, jiwa, keturunan dan harta. Namun, ulama telah menambah untuk memperkasakan akhlak juga.

"Islam Hadhari boleh diambil sebagai sifat kemajuan Islam. Saya rasa tak salah kita gunakan konsep tersebut untuk memajukan Islam," katanya seperti dilaporkan mStar Online.

Harussani enggan mengulas sama ada Perak akan mengikuti jejak kerajaan negeri Selangor dengan mengharamkan Islam Hadhari. BERNAMA

No comments: